ADAKAH
anda memeriksa tayar kereta anda pagi tadi? Jika tayar kereta anda
jenama Goodyear, sekarang anda perlu tahu bahawa tayar kereta itu
dicipta ketika dalam kesempitan.
Charles Goodyear telah
dipenjara kerana gagal untuk membayar cukai. Adakah beliau mengeluh
ketika di dalam penjara? Adakah keluhan dan rungutan boleh mengubah
keadaan? Charles Goodyear menggunakan masa yang banyak terluang di
dalam penjara itu untuk membuat kajian yang lebih mendalam terhadap
potensi getah asli.
Hari ini tayar Goodyear terhasil dari kajian
Charles Goodyear yang suatu masa dulu berada di dalam kesempitan. Dalam
kesempitan sentiasa ada kesempatan.
John Reed yang bekerja di
Citybank mendapati bank itu mengalami kerugian. Sesuatu mesti
dilakukan. Terciptalah mesin ATM. Satu tarikan baru untuk menarik lebih
ramai penyimpan. Dalam kesempitan ada kesempatan.
Frank
McNamara, suatu malam mengajak kawan-kawanya makan malam. Sungguh
memalukan pada malam itu kerana dompet Frank telah hilang pada malam
itu. Dari insiden itu terciptalah Diners Club.
Cerita-cerita
tadi membuktikan dalam kesempitan bukan sahaja ada kesempatan tetapi
dalam kesempitan juga boleh terhasil produk baru, idea baru yang
memberi kemudahan orang ramai.
Jadi, kali, jangan melihat
kesempitan sebagai kesempitan. Lihat dan cari hikmah yang tersembunyi
di sebalik kesempitan. Soalnya, ramai di antara kita yang hanya memberi
tumpuan kepada kesempitan itu, memikirkan kesempitan-kesempitan yang
telah, sedang dan akan dilalui. Bila seluruh masa digunakan untuk
memikirkan kesempitan maka apa yang diperolehi hanya kesempitan yang
berterusan. Ini kerana sejak dahulukala, terbukti sudah bahawa anda
akan mendapat apa yang menjadi tumpuan. Yang menjadi fokus itulah yang
diperolehi. Yang sempit menjadi bertambah-tambah sempit. Yang buruk
bertambah-tambah buruk.
Bagaimana kura-kura melepaskan diri
dari dimakan oleh musang yang bodoh sombong? Mudah. Musang memberitahu
untuk melembutkan badannya yang keras itu, ia mestilah direndam
terlebih dahulu. Musang menolak kura-kura ke dalam air supaya badan
kura-kura menjadi lembut. Kura-kura ketawa dan mengucapkan selamat
tinggal. Dalam kesempitan ada kesempatan.
Sejarah di dunia ini
terbukti sudah bahawa dalam setiap kesempitan ada banyak kesempatan.
Kesempatan hanya akan diperolehi jika menumpukan, mencari kesempatan
bukan menumpukan kepada kesempitan itu. Cari, mesti tersedia keuntungan
di dalam kesempitan. Dalam kesempitan, berfikir positif adalah kerja
bodoh. Fikirkan negatif, berfikir secara menyongsang, fikirkan
sebaliknya – apa keuntungan yang boleh diraih dalam kesempitan. Cari
kebaikan yang tersembunyi di sebalik keburukan yang terjadi.
Generasi
sekarang mungkin kurang kreatif. Mungkin juga kreatif terhadap perkara
yang bukan-bukan. Mungkin terlebih kreatif kepada perkara-perkara
berbentuk hiburan. Siapa lagi yang paling pandai menukar kayu di hutan
menjadi benda yang berpusing? Gasing adalah ciptaan akal kreatif,
tetapi mengapa yang berbentuk hiburan? Mengapa yang berunsur perjudian?
Tidak bolehkah mencipta benda yang memberi faedah kepada orang ramai?
Siapa lagi yang lebih kreatif menukar stereo dalam kereta hingga
menjadi seperti dalam konsert? Siapa lagi yang kreatif menukar bunyi
motosikal hingga menjadi seperti bunyi semboyan?
Kata orang,
hanya yang dalam kesempitan sahaja yang menjadi kreatif. Bila manusia
atau haiwan lapar, datanglah idea kreatif. Mungkinkah kerana itu umat
Islam digalakkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis? Adakah kita tak
kreatif kerana kita tidak susah? Kita tidak terdesak, dalam keadaan
terpaksa, kerana itulah kita tidak kreatif. Betulkan begitu?
Generasi
sekarang terlampau mewah, kata orang tua-tua. Generasi dulu, radio
dianggap barang mewah. Budak-budak sekarang, kalau di rumah tidak ada
TV kabel, dikira tidak ‘cool’.
Sejak zaman dahulu lagi telah
terbukti, bila terlalu mewah, manusia lupa. Manusia kehilangan daya
kreativiti, sedangkan fikiran manusia sebenarnya amat kreatif. Bila
segala-galanya terlalu mudah dicapai, fikiran jadi beku. Manusia jadi
pemalas. Contoh: jika ada ‘remote control’ di tangan, mahukah bangun
menukar saluran TV? Tentu tak mahu. Bukan tak larat tetapi memang tak
mahu.
Bila mewah, manusia memang lupa. Antaranya ialah lupa
untuk menyimpan. “Buat apa nak menyimpan, kan ada banyak lagi…” Manusia
juga lupa bahawa ‘langit tidak selalu cerah’. Dan lagi, lupa, bahawa
bila kita berada di puncak, bila terus mendaki bermakna kita sedang
turun dari puncak. Sudah lupa teori punca perang dunia kedua? Mengikut
teori, ekonomi pada masa itu sudah sampai ke puncak – sudah seperti
piramid. Perlu perang untuk menghancurkan piramid agar selepas perang
boleh membina piramid semula.
Yang paling pasti, bila berada
dalam kemewahan manusia lupa masa susah. Bukan maksudnya kita perlu
mengenang masa susah tetapi apa salahnya masa susah itu dijadikan
pedoman. Kemudian jika menjadi susah kembali, barulah menyesal tak
sudah, “Kalaulah dulu masa aku senang….” Soalnya, mengapa mesti ada
perkataan ‘Kalau…’
Kita tak boleh berbuat apa-apa lagi pada
perkara yang telah terlepas. Kita tidak boleh menukar hari semalam. Apa
yang perlu diberi perhatian ialah hari ini kerana hari ini akan
membantu mencorakkan hari esok.
Hari ini, jika anda masih
tersepit, jangan fikirkan kesempitan itu sebaliknya sentiasa ingat dari
pagi ini hingga ke pagi esok — setiap hari sentiasa ada peluang. Dan
peluang perlu dicari bukan ditunggu. Dalam mencari peluang sentiasa
ingat sebaris ayat ajaib – DALAM KESEMPITAN ADA KESEMPATAN.